Tuesday, 12 July 2016

1.2    ANCAMAN KOMUNIS

1.2.1   PARTI KOMUNIS MALAYA

Matlamat komunis di Tanah Melayu ialah untuk menubuhkan sebuah negara Komunis. Ideologi komunis ini mula disebarkan di Tanah Melayu pada 1930an dan semakin berkembang pada tahun 1941 hingga 1945 akibat perasaan anti Jepun. Walaupun British bekerjasama dengan MPAJA dan PKM semasa pendudukan Jepun tetapi selepas tahun 1945 pihak British enggan menerima PKM. Sejak itu bermulalah penentangan PKM terhadap kerajaan British di Tanah Melayu

1.2.2   PERKEMBANGAN SEBELUM DARURAT

Sebelum tahun 1937 sambutan orang Cina kepada PKM tidak begitu menggalakkan,namun selepas kekalahan Negara China dalam perang China - Jepun. PKM berjaya mempengaruhi perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu untuk menyokong perjuangan mereka. Dasar PKM bekerjasama dengan British semasa Perang Dunia Kedua menjadikan pengaruhnya semakin meluas. 

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir dan sebelum British kembali semula ke Tanah Melayu. PKM dan MPAJA keluar dari hutan dan mengambil alih pemerintahan selama tiga minggu. Dalam tempoh itu, tentera komunis yang dipanggil Bintang Tiga bertindak kejam untuk membalas dendam kepada penduduk tempatan yanag dituduh bersubahat atau bekerjasama dengan tentera Jepun.

Setelah British kembali semula memerintah, kerajaan British mengarahkan supaya MPAJA menyerahkan semua senjata dan membubarkan pasukan gerila yang ditubuhkan semasa pendudukan Jepun. Walaupun arahan itu dipatuhi, tetapi tidak semua senjata yang diserahkan kerana sebahagian besar daripadanya dan bekalan makanan masih disembunyikan di hutan. Tindakan MPAJA meletakkan senjata itu lebih merupakan satu langkah simbolik untuk menggambarkan yang PKM berjuang atas landasan perlembagaan.


1.2.3   PENYUSUPAN KE DALAM KESATUAN SEKERJA DAN PERGERAKAN POLITIK

Selepas MPAJA  dibubarkan, PKM memulakan kegiatan subversive dengan menyusup masuk ke dalam kesatuan sekerja.  PKM menerima sokongan kuat daripada sebuah gabungan kesatuan sekerja yang dikenali sebagai Pan-Malayan Federation Of Trade Unions (PMFTU). Melalui kesatuan sekerja PKM menganjurkan mogok di seluruh Tanah Melayu. 

PKM juga menyusup masuk ke dalam pergerakan politik.  Menjadi tenaga penggerak kepada usaha menyatukan golongan kiri melalui PUTERA – AMCJA untuk  menentang Malayan Union. PUTERA mewakili parti politik orang Melayu  yang berfahaman kiri dan AMCJA dikatakan  mewakili kaum bukan Melayu. Kesemua pertubuhan di bawah naungan PKM, kecuali  MIC diresapi atau bersimpati dengan komunis dan menjadi pertubuhan barisan hadapan PKM.

Gabungan PUTERA – AMCJA mengemukakan cadangan perlembagaan yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat pada tahun 1974. Cadangan itu di tolak oleh kerajaan British yang meneruskan usaha menubuhkan Persekutuan Tanah melayu bagi menggantikan Malayan Union.


1.2.4   LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KOMUNIS

a.         Mengisytiharkan Darurat

Menjelang pertengahan tahun 1948, keganasan  PKM semakin hebat.  Antara bulan  Oktober 1945 hingga Disember 1947, PKM melakukan 191 pembunuhan dan dalam enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 pembunuhan. Kemuncak keganasan berlaku pada 12 Jun 1948, apabila tiga orang pemimpin  Kuomintang dibunuh di Johor, dan  diikuti oleh pembunuhan tiga orang peladang Eropah  dalam masa satu hari di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun  1948.

Peristiwa ini memaksa kerajaan British mengisytiharkan darurat di Sungai Siput dan beberapa tempat di Johor pada 18 Jun 1948.  Sehari selepas itu, darurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu dan diikuti di Singapura pada 23 Jun 1948. Setelah undang-undang Darurat dikuatkuasakan, PKM dan pertubuhan di bawah naungannya diharamkan.

Oleh itu, bermulalah secara rasmi usaha kerajaan British untuk memerangi keganasan komunis di Tanah Melayu.  PKM memulakan kegiatan secara gerila melalui gerakan ‘bawah tanah’.

Semasa darurat beberapa usaha telah dijalankan untuk mengatasi keganasan PKM.
 Antaranya ialah :

i.          Mengharamkan PKM melalui undang-undang darurat
ii.         Menggunakan tentera dan polis untuk menangkap sesiapa yang disyaki.
iii.    Memperkenalkan sistem kad pengenalan di mana rakyat yang berumur 12 tahun ke atas  diwajibkan mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri.
iv.        Home guard di kampung-kampung telah ditubuhkan.
v.         Tentera-tentera komanwel telah dibawa masuk
vi.        Usaha-usaha menyatupadukan kaum-kaum melalui Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum


b.         Rancangan Briggs




Diperkenalkan oleh Sir Harold Briggs iaitu Pengarah Gerakan menentang Komunis pada tahun 1950. Rancangan diperkenalkan bertujuan untuk membanteras kegiatan komunis melalui strategi menempatkan golongan setinggan di pinggir hutan ke kampung baru dan melancarkan gerakan kelaparan.

Rancangan ini bertujuan menghalang penduduk Cina daripada membekalkan  makanan dan perubatan dan memberikan maklumat kepada gerila komunis yang bersembunyi dalam hutan. Di bawah rancangan ini kampung-kampung dipinggir hutan ditempatkan semula di kawasan baharu yang dipanggil Kampung Baru yang mudah dikawal. Kampung Baru dipagar disekelilingnya dan disediakan kemudahan seperti sekolah dan pusat kesihatan.

Rancangan ini didapati berkesan dalam menggagalkan pemberontakan Komunis kerana ia dapat melemahkan kegiatan Min Yuen dan seterusnya memaksa Komunis keluar daripada hutan.


c.         Rancangan Templer (Perang Saraf)


Sir Gerald Templer


Sir Gerald Templer telah melancarkan perang saraf ke atas pengganas Komunis dengan mengambil beberapa tindakan. Antaranya ialah:

            i.          melonggarkan syarat kewarganegaraan bagi orang bukan Melayu
ii.        memberi pengampunan secara beramai-ramai kepada anggota PKM yang menyerah diri
iii.     memberi hadiah kepada mereka yang memberikan maklumat mengenai pengganas Komunis
iv.     menyebarkan risalah yang meminta agar anggota PKM meninggalkan perjuangan mereka
v.        memperkenalkan konsep perintah berkurung di kawasan-kawasan tertentu ketika tentera memburu anggota Komunis


Sir Gerald Templer telah memperkenalkan sistem pembahagian wilayah kepada kawasan Hitam dan kawasan Putih. Pada tahun 1952. Kawasan Hitam ialah kawasan yang didapati giat dengan aktiviti komunis dan perlu diberi kawalan ketat oleh pihak pertahanan. Manakala kawasan Putih ialah kawasan yang selamat atau bebas daripada pengaruh Komunis

Melalui pengisytiharan ini kegiatan gerila dapat dikawal dengan baik dan berkesan. Melaka menjadi negeri pertama yang diisytiharkan sebagai kawasan putih pada bulan September 1953. Dibawah rancangan ini juga tindakan menyekat kemasukan bekalan makanan ke kawasan  yang menjadi sarang kegiatan Komunis telah dijalankan

d.         Rundingan  Baling

Rashid Maidin, Chin Peng & Chen Tien pada sesi Rundingan Baling 


Pada Pilihanraya Umum Persekutuan pertama pada bulan Julai 1955 memberi  kemenangan besar kepada Parti Perikatan. Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi ketua Menteri Persekutuan -Persekutuan Tanah Melayu di bawah sistem berkerajaan sendiri. Pemberian taraf berkerajaan sendiri mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan. Ini menjadikan pengaruh Komunis semakin merosot.

Tunku Abdul Rahman berjanji untuk menamatkan darurat dengan segera. Pada bulan September 1955, beliau menawarkan pengampunan secara beramai-ramai kepada semua pengganas komunis. Mereka yang menyerah diri tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh pihak kerajaan. Kemerosotan pengaruh Komunis menyedarkan para pemimpin PKM, terutama Chin Peng bahawa perjuangan mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya, Chin Peng bersetuju untuk berunding dengan kerajaan. Rundingan itu diadakan pada 28-29 Disember 1955 di Baling Kedah.

Perwakilan
Nama
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
Tunku Abdul Rahman
Ketua  Menteri Singapura
David Marshall
Presiden  MCA
Tan Cheng Lock
Parti Komunis Malaya
1.    Chin Peng (Setiausaha Agung)
2.    Chen Tien ( Ketua Propaganda)
3.    Rashid Mydin
      (Ahli Jawatankuasa Pusat)
                
Tokoh yang menghadiri Rundingan  Baling di Kedah pada 28-29 Disember 1955

Dalam rundingan  itu, Tunku meminta PKM meletakkan senjata dan menerima tawaran  pemgampunan  kerajaan.  Chin Peng menolak  permintaan itu dan sebaliknya meminta PKM  dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.  Rundingan Baling berakhir dengan kegagalan kerana kerajaan enggan tunduk dengan tuntutan PKM. Pada tahun 1960, kegiatan PKM berjaya dilumpuhkan, akibat tindakan keras kerajaan memerangi kegiatan Komunis.  Pada 31 Julai 1960, darurat diisytiharkan tamat secara rasmi.  Sepanjang tempoh darurat, seramai 6398 orang anggota PKM dibunuh, 1245 di tawan dan 1938 menyerah diri.
   
Jawatan dalam Parti Komunis Malaya
       Hadiah Wang Tunai
1.   Setiausaha Agung (Chin Peng)
$ 250 000
2.   Ahli Biro Politik
$ 200 000
3.   Ahli Jawatankuasa Pusat
$150 000
4.   Ahli Jawatankuasa Negeri dan Daerah
$120 000
5.   Anggota Biasa
$2500-$2000
                        
                  Tawaran  hadiah wang tunai atas penangkapan atau pemberian maklumat
                                            tentang pengganas  Komunis semasa darurat.

No comments:

Post a Comment